6K Punca Kebakaran Kenderaan


Assalamualaikum, Sahabat.

Hari ini abam nak berkongsi tentang 6 punca yang dikenalpasti menyebabkan kebakaran kenderaan. Saban hari Jabatan Bomba menerima panggilan memadam api kenderaan. Kalau ikut statistik, trend kebakaran melibatkan kenderaan di negara kita makin meningkat dan membimbangkan. 

Hasrat abam, sahabat- sahabat mendapat maklumat baru dan bertindak memastikan keselamatan kenderaan masing dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan terutamanya perjalanan yang jauh bersama ahli keluarga tersayang. 

1#Kemalangan


Tiada orang yang nak berlakunya kemalangan. Namun, semua orang berisiko terlibat dengannya meskipun tidak menggunakan kenderaan. Kata orang, kita tak langgar orang, orang langgar kita. Apabila berlaku kemalangan kenderaan, ada kemungkinan untuk berlakunya kebakaran. 

Sebab itulah, langkah pertama yang Anggota Bomba akan lakukan apabila menyelamat kemalangan adalah memastikan bekalan elektrik kenderaan dimatikan. Samaada dengan mematikan suis atau memotong kabel bateri (kabel negatif). Dengan mematikan aliran elektrik, separuh risiko kebakaran berjaya dikurangkan. 

Perkara kedua perlu diperhatikan adalah, jika terdapat kebocoran bahan api kenderaan. Langkah berjaga- jaga perlu diambil supaya tiada sumber nyalaan mahupun haba berada berhampiran. Selamatkan mangsa adalah prioriti. Pastikan semua penumpang dan pemandu kenderaan dialihkan dari kenderaan yang terlibat. Kenderaan boleh dibeli, nyawa tiada galang gantinya. 


2#Kegagalan sistem pendawaian dan fius (Arcing) 


Kenderaan baru biasanya tidak mempunyai masalah berkaitan pendawaian dan fius. Kebanyakan kes yang berlaku melibatkan kenderaan yang berusia dan diubahsuai oleh mekanik tak kompeten. Masalah yang melibatkan pendawaian dan fius biasa berpunca dari 2 sebab. Pertama 'Arcing' dan kedua 'Overload'. 



'Arcing' adalah letupan atau percikan api yang disebabkan terdapat wayar yang tak bersambung atau terputus tetapi berada berdekatan. Ia menyebabkan arus terpaksa melompat menyeberangi wayar yang terputus itu. Fenomena ini akan menghasilkan percikan api dan letupan yang berterusan. Apabila terdapat sesuatu yang mudah terbakar di sekitar itu, lama- kelamaan akan tercetusnya kebakaran. 



'Overload' pula melibatkan arus yang berlebihan dalam sistem pendawaian elektrik kenderaan. Samaada penambahan aksesori, penggunaan saiz wayar yang tidak tepat dan tidak berkualiti, atau penyambungan yang tidak sempurna boleh mengakibatkan wayar menjadi panas dan akhirnya penebatnya mencair dan memaskan bahan mudah terbakar di sekitar. 


3#Kegagalan Sistem Penyejukan

Kebanyakan kenderaan konvensional menggunakan enjin 'internal combustion' atau pembakaran dalaman. Pembakaran tersebut menghasilkan haba yang begitu tinggi. Sistem penyejukan yang melibatkan radiator, kipas penyejuk, pam air, cecair 'coolant' dan sistem perpaipan berfungsi mengawal suhu enjin. Kegagalan salah satu daripada komponen ini akan menyebabkan enjin menjadi 'overheat'. 

Sebelum memulakan perjalanan yang jauh, pastikan sistem penyejukan berada dalam keadaan yang terbaik. Jika berlaku 'overheating' kalaupun kenderaan anda tak terbakar, enjin anda akan mengalami kerosakan yang serius. Seharusnya pemandu kenderaan sesekali menjeling tolok suhu di panel meter mana tahu, tiba- tiba berlaku kegagalan terhadap mana- mana komponen dalam sistem penyejukan. 

Apabila melihat asap putih keluar dari bonet hadapan kereta anda, jangan panik, perlahankan kenderaan, beri isyarat membelok ke kiri. Sekiranya selamat berhentikan kenderaan anda di bahu jalan. Matikan enjin, dan buka bonet kereta anda. Sebagai persiapan, bawa bersama alat pemadam api. Sekiranya terdapat nyalaan, padamkan dengan segera. Segera hubungi pihak Bomba.

4#Kegagalan Sistem Turbo

Terdapat juga kes kebakaran kenderaan yang melibatkan kegagalan sistem turbo. Sistem turbo yang dipasang pada enjin kenderaan untuk meningkatkan kuasa pecutan didatangkan dengan sistem penyejukan. Hal ini kerana pusingan bilah di dalam turbin 'siput' amat laju dan menghasilkan haba yang tinggi. Kebiasaannya turbin akan disejukkan menggunakan sejenis pelincir khas. 

Jika anda membuat pengubahsuaian enjin dengan menambah sistem turbo, jangan sesekali abaikan sistem penyejukan turbin ini. Kebakaran melibatkan sistem turbo semasa memandu dapat disedari oleh pemandu apabila tiba- tiba kuasa kenderaan 'drop' secara mendadak. Sejurus dengan itu, biasanya asap putih terhasil dan dapat dilihat dari cermin pandang belakang. 

5#Kecuaian

Api dan kecuaian memang tidak boleh di pisahkan. Manusia dan kecuaian juga tidak boleh dipisahkan. Perkataan 'manusia' itu sendiri dari akar kata 'nasia' beerti lupa. Sekali menyaksikan kebakaran, sekali kita ingat. Dan sejurus selepas itu, lupa semula. Kebakaran kenderaan juga banyak disebabkan kecuaian dan kelalaian manusia. 

Kebakaran kenderaan di stesen minyak, kebanyakan berpunca dari sikap tidak berhati- hati pemandu mahupun penumpang. Mungkin mereka lupa bahawa stesen minyak merupakan sumber bahan bakar yang sangat mudah terbakar. Bermula dari tidak mematikan enjin, menggunakan telefon bimbit, merokok sambil mengisi minyak hinggalah menggunakan bekas yang tidak sesuai untuk mengisi minyak. 

Terdapat juga kebakaran yang melibatkan kerja- kerja pemindahan minyak dari lori tangki. Pematuhan terhadap peraturan keselamatan semasa memunggah seperti grounding dan pemantauan kerja perlu dipandang serius. Jika berlaku kebakaran, sudah pasti akan merugikan banyak pihak. 

6#Khianat

Selain daripada faktor- faktor dalaman, banyak juga kes yang pihak Bomba hadapi melibatkan 'arson' ataupun kes khianat. Namun, seiring dengan kemajuan teknologi kes- kes yang diterima semakin hari semakin kompleks. Seolah dirancang dengan begitu rapi sehingga menyukarkan proses mengenalpasti 'seat of fire' atau tempat bermulanya kebakaran. 

Walaubagaimanapun, pihak Forensik Bomba telah selangkah kehadapan dari aspek ilmu pengetahuan dan pengalaman. Bak kata pepatah, sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya. Kebiasaannya, kebakaran kenderaan disebabkan khianat boleh dikesan berdasarkan kesan kebakaran seperti bahagian dan komponen yang terbakar, kewujudan bahan penggalak kebakaran 'accelerant' atau bekasnya bahkan lebih jauh lagi melalui rakaman percakapan saksi- saksi dan pemilik. 

Penutup

Lindungi nyawa anda, insan tersayang serta kenderaan kesayangan anda. Banyakkan berdoa & sediakan alat pemadam api mudah alih. Akhir kata abam sentiasa mendoakan sahabat semua sentiasa dilindungi oleh Allah dimana sahaja sahabat- sahabat berada. Amin.


#abambomba

 Penafian: 
Tulisan ini tidak mewakili mana-mana jabatan atau mana- mana pihak yang berkepentingan. Ia adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pengamatan dan ilmu penulis.

Comments

Popular posts from this blog

5S for HOME: Pembudayaan Amalan 5S Bermula Dari Rumah! SERONOK DER!

'BACKDRAFT' Punca Letupan Cederakan BOMBA