Tragedi ITTIFAQIYAH; Hikmah Buat Umah!


Semua mata tertumpu pada mengamatinya, semua lidah berkumpul pada membicarakannya, bahkan para penguasa, agensi kerajaan dan swasta bersatu hati membincangkan punca dan langkah mengatasinya. 

Begitulah hebatnya penangan tragedi kebakaran yang melanda Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Dato’ Keramat pada kira- kira jam 5.15 pagi 14 September 2017 yang lalu. Tragedi menyayat hati itu telah meragut nyawa 23 orang pelajar termasuk 2 orang guru.

Tragedi seumpama ini bukanlah yang pertama berlaku. Bahkan menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Soiman Bin Jahid, telah terdapat 14 kes kebakaran melibatkan pusat tahfiz pada tahun 2017 berbanding 16 kes pada tahun sebelumnya. 

Pada 22 September 1989, negara pernah dikejutkan dengan kebakaran Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah atau “Pondok Pak Ya” di Guar Chempedak, Kedah telah meragut korban seramai 27 orang pelajar.

Berikut adalah kronologi insiden kebakaran melibatkan sekolah agama dan tahfiz di seluruh negara sejak 2007 seperti dilaporkan oleh akhbar Sinar Harian pada 14 September 2017. 

2017

13 Jan :Seorang murid tahfiz cedera dalam kebakaran asrama Pondok Nurul Iman di Kampung Tanjung Batu, Nenasi, Pekan.

16 Jan :  Seramai 113 pelajar Pusat Pendidikan Islam an-Nuur atau lebih dikenali Pondok an-Nuur di PantaiSepat, Kuantan hilangt empat tinggal selepas asrama mereka musnah terbakar. 
(Ini merupakan kejadian kedua selepas kejadian pertama pada tahun 2006,  juga melibatkan asrama pelajar)

7 Feb :Seramai 73 pelajar perempuan Sekolah Agama Maran di Pahang tinggal sehelai sepinggang setelah asrama kediaman mereka musnah sepenuhnya dalam kebakaran.

28 Feb :Sebanyak 40 pondok kediaman yang menempatkan 100 pelajar berumur antara 15 dan 30 tahun di Pondok Al-Baghdadi, Tumpat hangus terbakar, namun kesemua pelajar terselamat.

17 April :Sebanyak 10 pondok kediaman pelajar Pusat Pengajian Pondok Seri Permai, Permatang Sungkai di Pasir Puteh, Kelantan musnah dalam kebakaran menyebabkan kerugian kira-kira RM161,000.

30 April : 30 pelajar Mahaad Tahfiz Al-Quran Al-Ismailiah Mukim Lalang, Banggol Chicha, Pasir Mas tinggal sehelai sepinggang apa bila asrama penginapan mereka musnah dalam kebakaran.

3 Julai :Bilik stor di bawah tingkat asrama yang didiami 68 pelajar perempuan di Sekolah Agama Maahad Al-Islah di Teluk Intan, Perak musnah dijilat api. 

4 Julai : 18 pondok penginapan Madrasah Addiniah Al-Latifiah di Pengkalan Hulu, Kelantan yang menempatkan 66 penuntut musnah dalam kebakaran. 

30 Julai :Dua blok asrama yang menempatkan 100 pelajar lelaki Maahad Tahfiz Al-Barakah di Sepang musnah dalam kebakaran.

14 Sept :Seramai 21 pelajar dan dua guru maut dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, di Kuala Lumpur. Kejadian dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat yang berlaku di hadapan pintu masuk bilik asrama tingkat paling atas bangunan tiga tingkat itu.

2016  

18 Jan :Bangunan dua tingkat termasuk asrama menempatkan 30 pelajar Madrasah Tahfiz Al-Redzuan musnah dalam kebakaran di Kampung Dato Ahmad Razali, di Dengkil. 

7 Mac :Seramai 60 pelajar Maahad Tahfiz Darul Itqan Al-Muhammadi hilang tempat tinggal apabila asrama mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Batu 40, Sabak Bernam.

3 Mac :Asrama pelajar Maahad Tahfiz at-Tijarah di Jalan Bukit Idaman 8, Bukit Idaman di Selayang,  antara yang musnah dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah kedai tiga tingkat.

11 Mei :Sebuah bangunan dua tingkat asrama Madrasah Tahfiz Al-Quran Raudhatul Ulum, Bagan Selat, di Butterworth musnah dalam kebakaran manakala penghuninya terselamat.

18 Jun :Asrama Madrasah Diniah Bakriah Pondok Pasir Tumboh yang menempatkan lebih 50 penghuni hangus dalam kebakaran, bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.  (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan melaporkan ini kebakaran kedua di lokasi sama selepas yang pertama pada Julai 2016) 

22 Sept :Sebuah pondok lama di Maahad Tahfiz Daril Naim, Pangkal Kala, Melor, di Kota Bharu, musnah terbakar.

2015 

6 Mei: Sebuah premis yang menempatkan barang keperluan pelajar Pusat Pengajian Islam danTahfiz Ribat Assyafie di Taman Murni Perdana di Dungun musnah dalam kebakaran.

13 Mei :Sebuah bangunan yang menempatkan asrama bagi 26 orang pelajar Tahfiz Khairul Kalam di Jalan Kebun di Shah Alam terbakar.

29 Julai :Tiga pelajar Sekolah Agama Raudhatut Tahfiz di Km 2, Jalan Gunung Jerai di Guar Cempedak melecur dalam kebakaran bangunan asrama mereka.

28 Ogos :Sebuah asrama Madrasah Tahfiz Al-Zahra di Kampung Ladang, Gelang Patah di Johor Baharu terbakar kira-kira 6 pagi.

21 Okt :Kebakaran memusnahkan 70 peratus Sekolah Agama Al Ummi Tahfiz al-Quran di  Labuan, bagaimanapun, semua pelajar dan gurunya selamat.

2014

14 Feb :Sebanyak 17 pelajar Maahad Tahfiz Muhammadiah, Bukit Rangin di Kuantan tinggal sehelai sepinggang apabila bangunan madrasah dua tingkat yang turut menempatkan asrama mereka musnah dalam kebakaran.

2013 

15 Jun : Seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Barakah (Mantab), Kampung Masjid, Tikam Batu, dekat Sungai Petani, maut manakala dua rakannya cedera dalam kebakaran di asrama Maahad berkenaan.

4 Julai: Sejumlah 81 pelajar Sekolah Menengah Agama Kunak di sini tinggal sehelai sepinggang selepas asrama sementara yang menempatkan pelajar lelaki musnah dalam kebakaran 

2012

9 Sept : Tingkat dua sebuah bangunan yang menempatkan asrama di huni 25 pelajar Maahad Tahfiz Assyifa di Kampung Kolam, Kuala Ibai di Kuala Terengganu, terbakar dalam satu kejadian ketika pelajar solat Zuhur di surau berhampiran.

25 Jan: Sebuah asrama pelajar lelaki di Sekolah Menengah Agama Nadzah, Bukit Besar di Yan, Kedah hangus dalam kebakaran dipercayai akibat litar pintas sebelum merebak keseluruh bilik dan memusnahkan katil, tilam dan segala kelengkapan pelajar. Pada 1996 dan 2005, berlakukebakaran di sekolah yang sama membabitkan sebuah blok asrama pelajar perempuan.

2011 

16 Jan : Tingkat atas bangunan Sekolah Maahad Qiraat Al-Azhar Amal Aimy Zdalifah setinggi dua tingkat di Km3, Jalan Sungai Korok, Lebuhraya Sultan Abdul Halim di Alor Setar musnah dalam kebakaran kira-kira 10.50 pagi. 

2010

22 Jan :Sekolah Pondok Lubuk Tapah, pusat agama dan pendidikan tertua di Kelantan musnah dalam kebakaran.

25 Julai: Seorang pelajar berusia lapan tahun di sekolah agama swasta di Hulu Langat rentung setelah terperangkap dalam kebakaran pukul 1.30 pagi yang memusnahkan bangunan menempatkan Pusat  Pengajian Hayatul Ulum pada pukul 1.30 pagi.

2009

1 Jan :Kebakaran yang berlaku di sebuah bangunan dua tingkat di Sekolah Madrasah Darul Hikmah, di Kota Kinabalu menyebabkan kerugian kira-kira RM200,000, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

2007 

7 Ogos : Seramai 12 pelajar Sekolah Menengah Agama Darul Makmur di Pekan, Pahang tidak dapat menduduki ujian lisan al-Quran Sijil Sekolah Menengah Agama (SMA) setelah bangunan sekolah mereka musnah dijilat api dalam kejadian pada pukul 4.45 pagi. Kebakaran itu mengakibatkan empat buat kelas, sebuah bilik komputer, bilik guru dan bilik pengetua termasuk wang tunai RM8,500 hangus.

22 Sept :Sebuah kebakaran memusnahkan 40 pondok di Sekolah Pondok Bandar Hilir di Teloi, Sik, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan kerana kejadian berlaku pada musim cuti persekolahan.

22 Okt :Sebuah blok asrama yang menempatkan 96 murid di Sekolah Nurul Hidayah Al-Quran Maahad Tahfiz Pasir Putih hangus dijilat api, namun kesemua pelajar selamat kerana mereka ketika itu menghadiri kelas.- Bernama

Tiga faktor utama yang didapati menyumbang kepada berlakunya kes kebakaran di atas adalah; pertama risiko lelap ‘Sleeping Risks’. kedua, faktor keadaan fizikal penghuni (faktor umur, kesihatan dan keupayaan)dan ketiga, halangan terhadap jalan keluar yang selamat atau jalan keluar yang tidak mencukupi. 

Hampir semua pusat tahfiz mempunyai bilik- bilik asrama yang digunakan untuk tidur dan berehat. Premis yang berisiko tinggi ini di huni pula oleh anak- anak kecil yang masih belum mampu berdikari di saat kecemasan. Lebih parah lagi, apabila keadaan tingkap yang dipasang jeriji dan laluan yang tidak mencukupi. 

Faktor- faktor ini seringkali di abaikan dan dikesampingkan atas alasan kekurangan dana. Keadaan yang genting ini hanya menunggu saat penghuninya lalai untuk bertukar menjadi malapetaka.

Kerana manusia sering lalai lah, maka Allah turunkan peringatan. Perkataan ‘Tazkiratan’ yang bermakna ‘Peringatan’ disandingkan dengan proses penciptaan api. Firman Allah di dalam Surah Al-Waqiah, ayat 71-74 ; “Apakah kamu tidak melihat api yang engkau nyalakan. Apakah engkau yang menghidupkan pokoknya (yang menjadi bahan bakarnya) atau kami yang menghidupkannya. Kami telah jadikan api itu sebagai ‘peringatan’ dan kegunaan dalam hidup. Maka bertasbihlah dengan nama Tuhanmu yang Maha Agung.”

Kata ‘peringatan’ di dalam ayat tersebut mengandungi 2 makna tersirat. Pertama, kepanasan dan kegerunan api di dunia ini menjadi amaran kepada manusia terhadap ancaman api neraka di akhirat yang berganda dahsyatnya. Menyaksikan api yang rakus memakan bahan bakar, menghanguskan apa sahaja di depannya, seharusnya menjadikan manusia insaf dan lebih mendekati kepada Allah dalam kehidupan. 

Jeritan keperitan, kepedihan mangsa kebakaran yang rentung di dalam kebakaran cukup meruntun jiwa yang mendengarnya. Namun, setelah kulit mereka hangus terbakar, maka deria rasa mereka turut musnah, tiada lagi kesakitan terasa. Bahkan diakhirat Allah menggantikan kulit yang rentung dengan kulit yang baru agar mereka yang disiksa terus- menerus merasai kepedihannya. 

Firman Allah dalam Surah An-Nisa’, ayat 56; “ Sesungguhnya orang- orang yang kafir terhadap ayat- ayat Kami, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, kami gantikan kulit mereka dengan kulit yang lain, supaya mereka merasakan azab, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Kedua, Allah menciptakan api menjadi alat mengaktifkan deria kepekaan manusia. Kajian sains membuktikan secara fitrahnya, manusia akan bertindak secara refleks apabila tersentuh objek panas. Tindakan spontan tersebut menukar mod lalai manusia kepada mod berjaga- jaga. 

Sekiranya deria ini tidak diaktifkan, manusia akan kembali ke mod lalai semula. Kerana itulah, manusia harus sentiasa di berikan peringatan terhadap bahaya kebakaran supaya tahap kesedaran mereka sentiasa tinggi. Lihatlah betapa setiap kali berlakunya kebakaran, setiap orang pasti mula memikirkan bagaimana untuk memastikan mereka selamat. 

Pihak pemerintah segera meluluskan peruntukan yang besar untuk menaiktaraf prasarana menentang kebakaran. Para politikus dan sarjana, membincangkan dasar dan undang- undang supaya tragedi sama tidak berulang. Pemilik- pemilik premis mula memasang pepasangan keselamatan dan membuat latihan. Orang awam juga mula memberi penekanan terhadap peri pentingnya menjaga keselamatan kebakaran. 

Persoalannya, selama manakah kesedaran yang baik ini dapat bertahan?, sebulan?, setahun?, kemudian dilupakan semula?. Ia menjadi cabaran yang besar kepada Cawangan Kesedaran Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi memastikan kepekaan ini berterusan.


Kesedaran menjaga keselamatan kebakaran tidak seharusnya dipikulkan di bahu Jabatan Bomba semata-mata. Ia seharusnya menjadi tanggungjawab setiap individu. Firman Allah di dalam surah At-Tahrim, ayat 6; “Wahai orang yang beriman, lindungilah diri kamu dan ahlimu dari api…” Ahli di sini mencangkupi ahli keluarga bagi seorang ibu bapa, kakitangan bagi seorang ketua jabatan, dan rakyat bagi seorang pemimpin. 

Oleh itu, setiap kali berlakunya tragedi kebakaran sebagaimana di Darul Quran Ittifaqiyah tempoh hari, jangan hanya menunding jari kepada pihak pengurusan pusat tahfiz supaya bertanggung jawab, bahkan pihak kerajaan, badan berwajib, pemimpin masyarakat, ibu bapa dan mangsa juga perlu mengakui bahawa mereka turut terlalai terhadap tugas melindungi diri dan ahli dari ancaman api. 

Beristighfarlah dan kembali memainkan peranan masing- masing dalam memperkasakan budaya keselamatan kebakaran di negara kita yang tercinta ini. Semoga budaya saling ingat- mengingati mengenai keselamatan kebakaran terus subur di dalam masyarakat. –Tamat--

#abambomba
#OnlyTheBrave


 Penafian: 
Tulisan ini tidak mewakili mana-mana jabatan atau mana- mana pihak yang berkepentingan. Ia adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pengamatan dan ilmu penulis.

Comments

Popular posts from this blog

5S for HOME: Pembudayaan Amalan 5S Bermula Dari Rumah! SERONOK DER!

6K Punca Kebakaran Kenderaan