5S for HOME: Pembudayaan Amalan 5S Bermula Dari Rumah! SERONOK DER!
Orang Jepun pasti tergelak bila dapat tahu kita baru nak mula amalkan budaya 5S dalam kehidupan seharian. Kerana amalan ini sudahpun menjadi budaya dan mendarah daging dalam jiwa warga negara mereka sejak sekian lama. Pengasas 5S, M. Nakatshugawa telah memperkenalkan konsep ini lebih 60 tahun yang lepas.
Tetapi, bak kata orang putih 'better late than never', maka nilai- nilai baik yang ada dalam budaya 5s ini masih boleh diamalkan. Walaupun ia berasal dari negara matahari terbit, ia tetap menjadi 'kebijaksanaan milik umat Islam yang tercicir'. Ia harus dikutip semula.
5S bukan soal amalan tetapi lebih dari itu ia harus menjadi budaya. Budaya adalah suatu yang menjadi nilai dalam diri, dibanggai, dijaga dengan baik dan diwarisi sebagai pusaka kepada generasi mendatang.
Perjalanan untuk membentuk budaya mengambil masa yang panjang. Bukan mudah untuk mengubah paradigma manusia. Ia bermula dengan merubah cara berikir. Masyarakat harus yakin bahawa 5S mampu membantu meningkatkan kualiti kehidupan mereka.
Bagaimana membentuk keyakinan? Al-Quran mengemukakan 3 langkah membentuk keyakinan.
- Ilmul Yaqin : Berikan ilmu pengetahuan berkenaan 5S, kesannya, kaedahnya dan sebagainya. Anjurkan kursus, bengkel, seminar, kempen dan sebagainya
- Ainul Yaqin: Tunjukkan bukti kejayaan, kualiti hidup yang telah dicapai oleh masyarakat yang telah mengamalkan 5S dalam kehidupan. Buat lawatan ' banchmarking' dan sentiasa memerhatikan dan menonjolkan hasil positif 5S
- Haqqul Yakin: Mulakan pengamalan 5S secara kecil- kecilan dan war- warkan setiap pencapaian yang hasil auditan. Naikkan rasa seronok dengan apa yang telah dicapai dengan pengiktirafan walaupun dengan sebaris pujian
3 Proses ini harus diulang- ulang dengan meningkatkan skalanya dari semasa ke semasa. Lama kelamaan ia akan menjadi sebahagian daripada sistem hidup.
Fitrah manusia seronok melihat kecantikan, kekemasan, keselesaan dan peningkatan kualiti hidup. Letakkan sasaran baru setelah sasaran yang lama telah berjaya dicapai.
Skop amalan 5S paling kecil boleh dimulakan di rumah. Berikut abam kongsikan 6 langkah mudah untuk mulakan amalan 5S di rumah;
- Pilih 1 atau 2 lokasi yang paling mudah untuk dilaksanakan 5S di rumah. Contohnya; ruang dapur, bilik tidur utama dan sebagainya
- Lantik Person in Charge (PIC) yang akan bertanggungjawab terhadap lokasi 5S. Contohnya; Suami sebagai PIC Bilik Tidur Utama, dan Isteri sebagai PIC Ruang Dapur
- Lakarkan plan lantai lokasi 5S masing- masing, pamerkan
- Senaraikan inventori yang perlu ada di lokasi 5S tersebut dan pamerkan
- Lantik auditor untuk melakukan suditan silang. Contohnya Suami mengaudit ruang dapur dan Isteri mengaudit Bilik Tidur Utama
- Laporkan setiap penemuan, penambahbaikan dalam perbincangan mingguan
Setelah berjaya melaksanakan amalan ini di lokasi yang minima, pasti anda bertambah seronok untuk kembangkannya ke ruang- ruang yang lain pula. Libatkan anak- anak dalam aktiviti 5S di rumah.
InsyaAllah bermula dari keluarga 5S ia akan merebak membentuk blok taman 5S akhirnya menjadi sebuah masyarakat 5S. InsyaAllah. Jom mulakan! --Tamat--
Comments
Post a Comment